Program akademik Jabatan_Neurosains

Jabatan Neurosains yang diketuai oleh Professor Jafri Malin Abdullah FASc dengan kerjasama 25 pensyarah,pensyarah bersekutu dan pensyarah penyandang daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan 3 buah Universiti di Malaysia menyelaras dan menyediakan latihan klinikal neurosains di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Perubatan di samping mengendalikan program penyelidikan asas pada peringkat Sarjana Sains dan Ijazah Tinggi. Sebanyak 3 program akademik yang ditawarkan,iaitu Kursus Lanjutan Sarjana Perubatan-Neurosurgeri (M.S.Neurosurgeri), Kursus Lanjutan Sarjana Perubatan-Neurologi (A.M.Med.Neurology) dan Sarjana Sains dan Ijazah Tinggi (Neurosains).

Program latihan kepakaran Sarjana Neurosurgeri telah dimulakan sejak tahun 2001. Calon-calon yang dipilih berdasarkan kepada kelayakan akademik dan pengalaman dalam bidang surgeri am dan neurosurgeri. Pelajar-pelajar yang dipilih akan menjalani tempoh minimum kursus selama 4 tahun. Tempoh maksimum jangka masa kursus adalah 7 tahun dan semua calon perlu menduduki peperiksaan Fasa 1 dan Fasa 2 disamping menyediakan disertasi sebagai syarat untuk bergraduasi.

Program Sarjana Lanjutan Perubatan-Neurologi telah bermula pada 2007 untuk residen perubatan yang mempunyai minat yang tinggi. Matlamat utama program ini adalah untuk melatih pengamal perubatan sebagai pakar neurologi yang cekap dan dapat memberi penjagaan yang mahir kepada masyarakat. Jangka masa minimum kursus adalah 3 tahun dan maksimum adalah 5 tahun. Program Sarjana Sains dan Ijazah Tinggi ditawarkan dalam mod penyelidikan. Program ini menawarkan kursus sepenuh masa untuk siswazah dalam bidang sains biologi, sains kimia, sains fizik, bioperubatan, bioteknologi, kejuruteraan, doktor veterinar dan sains komputer. Jangka masa maksimum kursus untuk Sarjana Sains adalah 3 tahun dan Ijazah Tinggi selama 8 tahun. Penghasilan kertas kerja adalah diutamakan untuk program ini sama ada perlu diterbitkan dalam penerbitan jurnal tempatan mahupun jurnal antarabangsa. Penyelidikan utama yang dijalankan di jabatan ini termasuklah penyelidikan epilepsi, perubatan regenerasi selepas kecederaan trauma, model haiwan untuk kecederaan otak, sains psikologi dan genetik, genetik dan kanser otak, vaksin dan kanser, memori dan psikoaktif dan pengkulturan sel-sel otak.

Selain mengendalikan program akademik yang dinamik dan mencabar, Jabatan Neurosains juga terlibat dalam menyediakan program yang bertema tidak formal tetapi infomatif sekaligus merapatkan hubungan dengan masyarakat. Pelbagai aktiviti yang dijalankan saban tahun ini merangkumi institusi-institusi tempatan, masyarakat luar dan setempat, orang perseorangan dan berkumpulan. Antara projek-projek yang dijalankan termasuklah Kursus Pengenalan Sains Neuro pada 2002 hingga 2010 yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah seluruh negeri Kelantan. Selain itu, Kursus ‘Bulan Kesedaran Sains Neuro’ atau lebih dikenali ‘Brain Awareness Month’ yang bermatlamatkan memberi pengetahuan tentang penyakit-penyakit neuro seperti penyakit Parkinson, Azheimer, Epilepsi dan penyakit berkaitan. Dalam pada itu, kursus-kursus klinikal neurologi, neurosurgeri, neuroanaesthesiologi, neuroradiologi,neuroparamedik turut diadakan sepanjang tahun antara lain meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tentang perkembangan terkini dalam perubatan sains neuro.